SABAH FOKUS BANGUNKAN PELANCONGAN KESIHATAN DAN KESEJAHTERAAN

KOTA KINABALU: Rancangan untuk menubuhkan Majlis Pelancongan Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah (SHWTC) sedang diusahakan bagi memasarkan Sabah sebagai destinasi pelancongan kesihatan.

Pada Isnin (13 Jun), jawatankuasa pro-tem yang diketuai oleh Dr Anil Kumar bertemu dengan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, untuk membincangkan pembentukan Majlis itu.

Mereka juga telah menjemput Joniston, selaku Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), untuk menjadi penasihat Majlis. Turut hadir pada mesyuarat itu ialah ketua pegawai eksekutif STB, Noredah Othman.

Dr Anil, yang juga pengarah urusan Medisinar, berkata SHWTC bertindak sebagai pusat sehenti untuk semua perkara berkaitan paradigma kesihatan.

“Majlis itu bertujuan memberi dorongan dan tumpuan untuk menempatkan pelancongan kesihatan dan kesejahteraan Sabah di persada dunia.

“Kita sudah mempunyai prasarana dan kemudahan untuk tujuan ini. Sudah tentu sektor pelancongan kesihatan akan menjadi pasaran baharu bagi negeri ini yang mampu membawa hasil yang tinggi.

“Pihak kami mahu bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah dalam mempromosikan sektor ini secara berkesan dan menarik orang ramai dari negara jiran, khususnya kawasan BIMP-EAGA, untuk mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Joniston memberi jaminan bahawa STB akan bekerjasama rapat dengan ahli professional kesihatan tempatan untuk menjadikan Sabah sebagai pilihan destinasi pelancongan penjagaan kesihatan.

“Langkah ini tepat pada masanya kerana di negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang dan Melaka, mereka sudah mempunyai majlis pelancongan penjagaan kesihatan. Ia juga selaras dengan usaha STB untuk menarik pelancong mewah.

“Kita telah berjaya dalam sektor pelancongan lain, seperti pelancongan luar bandar, dan tidak ada sebab mengapa Sabah tidak boleh melakukan perkara yang sama dalam pelancongan kesihatan.

“Semua pihak harus bekerjasama rapat untuk mencapai matlamat, membangunkan pelan strategik untuk mempromosikan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negeri ini, dan melihat prospek pasaran sasaran, terutamanya apabila Nusantara bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia,” katanya.

Joniston turut mencadangkan agar jawatankuasa SHWTC mempertimbangkan untuk mengambil wakil daripada agensi kerajaan dan swasta lain yang berkaitan sebagai ahli.

Sementara itu, Noredah berkata Lembaga Pelancongan Sabah telah mula mempromosikan pelancongan kesihatan melalui Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia.

Namun begitu, beliau berkata pihak STB bersedia untuk menyertai SHWTC bagi berkongsi pengalaman dan kemahiran dalam membangunkan pakej yang berdaya maju untuk pelancongan kesihatan di Sabah.

“Adalah penting untuk mempunyai pengamal perubatan dan kesihatan yang boleh mendidik pihak berkepentingan seperti pengusaha hotel dan pengusaha pelancongan mengenai pelbagai pilihan penjagaan kesihatan yang tersedia untuk para pelancong.

“Pihak Lembaga Pelancongan Sabah berbesar hati untuk bekerjasama dengan SHTWC untuk mengadakan bengkel untuk pemain pelancongan bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang tawaran pelancongan kesihatan di negeri ini,” katanya.

Ahli jawatankuasa protem Majlis yang hadir ialah NaibPpresiden Persatuan Ahli Farmasi Komanwel, Datuk Nancy Ho; Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah, Datuk Seri Winston Liaw; Presiden Persatuan Spa Malaysia, Datin Jeanette Tambakau; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Dr Tan Bee Hwai; dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Credit Cooperation, George Taitim Tulas.

– TAMAT –

Captions:

1. Dr Anil Kumar, Pengerusi jawatankuasa pro-tem Majlis Pelancongan Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah (SHWTC).
2. Datuk Joniston Bangkuai bersama ahli jawatankuasa pro-tem Majlis Pelancongan Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah (SHWTC).
3. Datuk Joniston Bangkuai berkongsi pandangan bersama ahli jawatankuasa pro-tem Majlis Pelancongan Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah (SHWTC).

Thursday, June 16, 2022

Other News